OK sudoh-sudoh! Entah sampai bila masalah bekalan dan kualiti air di Kelantan akan berakhir. Minggu lalu Cekmek Molek pulang ke negeri kelahiran itu untuk berpuasa bersama keluarga. Setiap kali balik, setiap kali itulah perlu menghadapi masalah air. Air serupa warna air teh o, tekanan rendah dan berbau. Walaupun tidak lama duduk di Kelantan kerana Cekmek Molek sudah menetap di Selangor, tetapi amat kesian kepada orang tua dan rakyat negeri itu yang perlu menggunakan keperluan asas yang teruk seperti ini setiap hari.
Sungai utama di negeri Cik Siti Wan Kembang ini adalah Sungai Kelantan selain Sungai Galas, Sungai Lebir dan Nenggeri. Empangan Pergau adalah empangan utamanya. Terdapat 36 loji rawatan air (LRA) yang beroperasi secara aktif di seluruh Kelantan dan dengan jumlah loji sebanyak ini sepatutnya mampu menyalurkan air bersih kepada penduduk tanpa masalah.
Kerajaan negeri Kelantan ditadbir oleh Pas buat penggal ketujuh selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Walaupun dikatakan gagal menangani masalah keperluan utama rakyat ini, kebanyakan penduduk seakan sudah ‘kalih’ atau reda sahaja dengan apa yang mereka dapat.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung atau pinggir bandar, kebanyakan penduduk mengusahakan sendiri mencari sumber air alternatif. Boleh dikatakan setiap rumah sudah memasang ‘boring’ atau menggali perigi sendiri. Namun bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar seperti di Kota Bharu, usaha tersebut sukar dilaksanakan kerana tidak semua kawasan sesuai berbuat begitu.
Pengurusan air di negeri itu telah dimandatkan kepada syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang bertanggungjawab membekalkan air untuk semua kategori termasuk kediaman mahu pun komersial. Malangnya, kemelut bekalan air yang berterusan ini seolah tiada titik penyelesaian.
Pendekatan Pengurusan Air Secara Bersepadu
Pensyarah Pengurusan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Haryati Shafii dalam satu artikelnya pernah mencadangkan pendekatan Pengurusan Air Secara Bersepadu (IWRM) merupakan alternatif yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Ia bertujuan mengawal pembangunan dan penggunaan sungai, tasik, lautan, tanah lembap, dan aset air lain.
Bagi mengatasi masalah kekurangan air, kerajaan negeri boleh menyediakan pam air (penggalak) seperti yang banyak digunakan oleh penduduk luar bandar seperti di Kemboja. Kemudahan ini boleh disediakan mengikut kawasan atau zon yang diklasifikasi sebagai kritikal dan sederhana.
Penyaluran air mengikut giliran zon juga boleh dilaksanakan iaitu dengan cara setiap zon akan diberikan bekalan air dalam tempoh beberapa jam dalam sehari. Sebagai contoh, zon kritikal akan mendapat bekalan air dari pukul 8-10 pagi manakala pada 10-12.00 tengah hari pula, giliran zon lain akan mendapat bekalan. Jika langkah ini dilaksanakan, isu terputus bekalan air sehingga lima hari tidak akan berlaku.
Pihak pengurusan air juga harus peka dengan kemungkinan berlakunya pembaziran air. Buatlah pemantauan secara berkala terhadap paip-paip lama dengan kerjasama wakil komuniti supaya masyarakat boleh terus membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati tanda-tanda kebocoran paip bawah tanah.
Penstrukturan semula industri air
Pada 2016, Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan telah dimuktamadkan antara Kerajaan Persekutuan yang dikatakan memberi nafas baharu kepada rakyat. Begitu juga dengan projek naik taraf LRA di beberapa tempat, namun malangnya masalah bekalan dan kualiti air di Kelantan masih tidak berubah. Dan pada tahun ini, kerajaan negeri juga dikatakan telah menandatangani pembelian air dari Terengganu demi menampung keperluan air.
Difahamkan juga AKSB dalam proses menukar kira-kira 3,000 kilometer paip lama dan uzur di seluruh negeri itu bermula tahun lalu. Projek selama lima tahun itu merupakan sebahagian daripada pelan Program Migrasi pada 2016 antara syarikat utiliti tersebut dengan Pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melibatkan kos berjumlah RM973 juta. Penukaran ini melibatkan paip jenis AC yang telah berusia 30 tahun yang sering kali pecah dan bocor serta tidak dapat menampung keperluan bekalan air semasa. AKSB juga sedang giat melaksanakan dua projek LRA iaitu Loji Tualang 2 di Kuala Krai yang boleh membekalkan air bersih sebanyak 20 juta liter sehari dengan menggunakan teknologi Chemiless. Manakala projek kedua ialah LRA Kampung Teluk, Panji yang menggunakan teknologi Ozon yang dijangka siap pertengahan tahun depan.
Projek-projek ini dikatakan mampu menyelesaikan masalah bekalan air yang telah lama membelenggu rakyat di negeri itu. Walau pelbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan, biarlah hasilnya dirasai rakyat di negeri Serambi Mekah ini. Tidak sampai setahun lagi negara akan memasuki tahun 2020 dan Malaysia pun akan diiktiraf negara maju, tetapi Kelantan masih mundur dan rakyatnya terus merasai kesengsaraan dek kerana krisis air ini. Sudoh-sudohlah! Bo lah!











