KUALA LUMPUR – Koperasi Usahawan India Malaysia (MIEC) dengan kerjasama Social Entrepreneurs Network (SeNet) akan menganjurkan Anugerah Perdana 2019 pada 5 Oktober depan.
Penganjuran majlis anugerah yang ke-14 itu, antara lain bertujuan mengiktiraf golongan usahawan muda India di negara ini atas pencapaian mereka dalam bidang keusahawanan.
Menurut Pengerusi MIEC, M. Mathuraiveran, Anugerah Perdana 2019 yang bertemakan `Memupuk Usahawan India’ menyediakan platform kompetitif kepada usahawan muda India bersaing dalam arena perniagaan yang semakin mencabar.
Katanya, Anugerah Keusahawanan Muda India (YIEA) yang diperkenalkan pada 2005, telah dijenamakan semula sebagai Anugerah Perdana bagi mencerminkan statusnya sebagai anugerah yang berprestij tinggi.
“Anugerah Perdana 2019 menawarkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan India. Para pemenang juga berpeluang menjalinkan rangkaian, bertukar idea, meneroka dan menggalakkan golongan itu membina perniagaan mereka dalam komuniti perniagaan.
“Malah, pengiktirafan menerusi anugerah ini bukan sahaja meningkatkan kredibiliti tetapi turut memberi nilai tambah kepada organisasi usahawan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mathuraiveran berkata, MIEC juga akan memberi pengiktirafan kepada usahawan India yang berjaya dalam bidang kepakaran masing-masing menerusi Anugerah Kecemerlangan Industri atau Anugerah Kategori.
“Anugerah Kecemerlangan Industri atau Anugerah Kategori terbuka kepada semua usahawan India tanpa mengira umur, yang terbukti menjadi ikon dalam bidang kepakaran mereka. Tahun lalu, sebanyak 35 usahawan India menerima anugerah berkenaan,” katanya.
Selain itu, katanya, kategori YIEA di bawah Anugerah Perdana 2019 terbuka kepada usahawan India yang berumur antara 25 hingga 40 tahun.
Katanya, kriteria yang diambil kira bagi kategori tersebut adalah berdasarkan kepada pencapaian kewangan dan pertumbuhan syarikat, model perniagaan yang inovatif, kisah kejayaan dan cabaran yang dihadapi, tanggungjawab sosial serta keupayaan memimpin yang baik.
Tambah beliau, tarikh tutup pencalonan pada 15 Julai depan. – UTUSAN ONLINE











