KUALA LANGAT – Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) mati dalam keadaan menyayat hati apabila diserang sawan sebelum lemas di dalam parit sedalam 0.5 meter di Batu 12 Jalan Klang Banting, Telok Panglima Garang di sini semalam.
Mayat P. Selvaraju, 59, yang merupakan OKU kategori lembam itu ditemui lengkap berpakaian kira-kira pukul 3.15 petang oleh seorang lelaki yang hendak memancing di sekitar kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah berjalan seorang diri di kawasan tersebut sebelum diserang sawan.
Katanya, mangsa dikatakan menggunakan laluan di sekitar kawasan itu bagi memunggut tin dan botol minuman terbuang untuk dijual ke premis besi buruk yang berhampiran.
“Mangsa yang mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak itu telah dihalau daripada rumahnya sebelum ini susulan tabiat mabuknya serta dibebani hutang ah long.
“Saudara-mara mangsa telah melarang mangsa berjalan seorang diri berikutan penyakit sawan yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa sebelum ini pernah dihantar ke rumah kebajikan namun kakitangan di premis itu tidak tahan dengan perangai mangsa yang degil dan kuat bergaduh sebelum mangsa keluar dan hidup bersendirian.
Ujar Azizan, berdasarkan rekod juga mendapati mangsa kerap mengalami serangan sawan itu tanpa mengira masa dan baharu lebih dua minggu keluar selepas menerima rawatan daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Hasil pemeriksaan awal ke atas mayat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa dipercayai jatuh sendiri ke dalam parit akibat penyakitnya.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya.
Jelas beliau, kes diklasifikasikan mati mengejut. – K! ONLINE











