PUTRAJAYA – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahmad Soffian Mohd. Shariff meletakkan jawatannya bermula hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau baharu sahaja menerima satu notis perletakan jawatan itu melalui aplikasi Whatsapp di telefon bimbitnya.
“Ahmad Soffian merupakan seorang kakitangan yang berdedikasi dan sering memberi komitmen tinggi terhadap tugasan beliau. Walau bagaimanapun, secara prinsipnya saya menghormati keputusan yang diambil beliau.
“Namun memandangkan pada waktu ini saya masih berada di luar negara atas beberapa urusan, perkara ini akan diperhalusi sekembalinya saya ke tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, Ahmad Soffian merupakan suami kepada peguam Syazlin Mansor yang dilantik untuk mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Sementara itu, Ahmad Soffian ketika dihubungi Utusan Online enggan mengulas berhubung keputusan itu.
“Saya tidak mahu jawab,” katanya. – UTUSAN ONLINE











