TELUK INTAN – Kerajaan dicadang meminda Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang dipertikai.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, Seksyen 5 Akta SPRM ketika ini memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Menurutnya, sehubungan itu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah mengikut undang-undang.
Beliau berkata, namun untuk memastikan proses lantikan pada masa akan datang menjadi lebih telus dan selaras dengan manifesto, Sekysen 5 Akta SPRM wajar dipinda.
“Pindaan yang dimaksudkan ialah memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat, calon wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC).
“Ini bermakna, proses pelantikan pada masa akan datang ialah calon dicadangkan oleh Perdana Menteri dan diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi seperti latar belakang calon.
“Penilaian yang dibuat dihantar semula kepada Perdana Menteri yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan. Jika proses ini diikuti, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak akan menjadi isu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir Pendidikan Semenanjung Malaysia, Cawangan Hilir Perak di sini hari ini.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan mengulas isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu yang dipertikaikan banyak pihak. – UTUSAN ONLINE











