KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan satu pelan holistik penguatkuasaan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengatasi masalah kebanjiran golongan itu di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan holistik yang melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi serta melibatkan peranan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) itu bagi membantu secara aktif dalam membanteras PATI.
Jelas beliau, pelan tersebut juga dicetuskan bagi mewujudkan satu ekosistem tidak selesa kepada PATI dalam meneruskan kehidupan seharian melalui pendekatan mendaya upaya agensi penguatkuasa dan kawal selia sedia ada termasuk meningkatkan kerjasama strategik serta kesedaran masyarakat setempat.
“Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun berdasarkan lima fokus utama iaitu strategi operasi penguatkuasaan; strategi perundangan dan dasar penguatkuasaan; strategi kawalan sempadan dan pintu masuk; strategi pengurusan warga asing serta strategi media dan publisiti.
“Strategi yang digariskan dalam pelan holistik ini berlunaskan bidang-bidang fokus yang terlibat dan dibangunkan bagi memberikan impak signifikan ke arah peningkatan imej penyampaian perkhidmatan awam terutamanya pasukan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Muhyiddin, kementerian melalui Jabatan Imigresen dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warganegara asing.
Katanya, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 7,940 operasi sejak 1 Januari hingga 4 Jun lalu yang melibatkan pemeriksaan hampir 100,000 orang warganegara asing dengan 23,295 PATI telah diambil tindakan undang-undang.
“Daripada jumlah tersebut, warganegara Indonesia merupakan PATI yang paling ramai ditangkap iaitu 8,011 orang diikuti warganegara Bangladesh iaitu seramai 5,272 orang manakala bakinya adalah warganegara Myanmar, Filipina, Thailand dan lain-lain.
“Dalam tempoh lima bulan ini juga, seramai 26,116 orang PATI telah diusir ke negara asal. Selain itu, dalam tempoh yang sama seramai 605 orang majikan telah diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN ONLINE











