SETIU – Sebanyak empat buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di dua lokasi berasingan di Sungai Tong dan Kampung Bari dekat sini hari ini.
Kejadian pertama kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Sungai Tong membabitkan tiga buah kereta yang dikatakan dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zulkifli Mat Deris berkata, setiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan selekoh, kereta Proton Saga FLX tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Katanya, selang 10 minit kemudian sebuah lagi kereta jenis serupa dan dari arah sama turut terbabas lalu melanggar Proton Saga FLX di penghadang jalan.
“Sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios turut terbabas di lokasi sama dan bergesel dengan salah sebuah kereta yang tersadai di tepi jalan tersebut sekali gus menjadikan tiga buah kenderaan terlibat dalam kemalangan itu.
“Bagaimanapun ketiga-tiga pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua penumpang dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, kemalangan kedua di Kampung Bari pula turut membabitkan kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu oleh seorang pembantu kedai Eco berusia 26 tahun.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi, kenderaan mangsa yang dari arah Lembah Bidong menghala ke Bandar Permaisuri hilang kawalan dan terbabas namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











