Syafiq diketepi lawan Timor Leste kerana cedera - Utusan Malaysia

Syafiq diketepi lawan Timor Leste kerana cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengesahkan Syafiq Ahmad terpaksa direhatkan daripada perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 menentang Timor Leste, Selasa ini.

TAN CHENG HOE

Katanya, imbasan gema magnetik (MRI) terhadapnya mendapati pemain itu mengalami kecederaan yang bukan serius pada ligamen lututnya dan perlu berehat lebih kurang dua minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syafiq dikeluarkan pada awal babak pertama perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat lalu dan digantikan oleh Shahrel Fikry Md. Fauzi yang sempat menyumbangkan gol kedua.

“Doktor menasihatkan dia berehat lebih kurang dua minggu. Saya kecewa sebab tidak dapat senaraikannya semula,” kata Cheng Hoe sebelum sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Turut berkemungkinan besar perlu melupakan aksi itu ialah Syazwan Zainon yang mengalami kecederaan buku lalu kanan dam dikecualikan daripada sesi latihan hari ini namun kata jurulatih itu, “Kami akan cuba tengok semula sehari dua ini.”

Mengenai kedudukan selesa Harimau Malaya yang menang besar 7-1 sebagai modal selesa menjelang aksi kedua, katanya, “mana-mana jurulatih pun jarang akan tukar kesemua kesebelasan utama pasukannya namun mungkin sebahagian pemain (simpanan) kita perlu diberi peluang.

“Saya selalu tegaskan kepada setiap pemain yang masuk pasukan negara, mereka perlu bersedia untuk diturunkan dan sentiasa pamerkan prestasi konsisten,” kata jurulatih berusia 51 tahun dari Kedah ini.

Namun kesilapan individu yang dihukum dengan gol tunggal Timor Leste, Jumaat lalu turut diingatkan Cheng Hoe agar tidak sesekali diulangi. Katanya, “Kami akan kekalkan tempo permainan yang begitu baik dijalankan sebelum ini dan cuba kurangkan kesilapan individu.”

Cheng Hoe juga masih menagih kehadiran lebih ramai penyokong Harimau Malaya ke stadium setelah hanya lebih kurang 4,000 yang tetap setia memberikan sokongan padu dalam aksi Jumaat lalu yang turut jatuh pada Hari Raya Aidilfitri ketiga.

“Sekalipun kita agak selesa mendahului 7-1, saya tetap berharap mereka akan kembali membanjiri stadium kerana kita mahu mendengar sorakan dan sokongan mereka yang mampu menjadi motivasi dan inspirasi terbaik buat pasukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini