BESUT – Polis menahan seorang penganggur bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang buruh dan merosakkan cermin kenderaan di dua lokasi berasingan di daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kampung Gerong Apal di sini sekitar pukul 9 malam, hari sama.
Katanya, dalam kejadian pertama, suspek dikatakan menyerang seorang buruh berusia 30 tahun di kawasan sawah padi di kampung berkenaan dengan menggunakan sebilah parang yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di perut.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang dan mangsa kemudian membuat laporan polis, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
“Bagi kes kedua pula, suspek dikatakan telah memecahkan cermin pintu sebelah kanan kereta jenis Mitsubishi milik seorang kontraktor di Kampung Apal dan kejadian itu hanya disedari mangsa ketika pulang ke rumah kira-kira pukul 11 malam,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, selain cermin kenderaan yang pecah, mangsa turut mendapati kesan tetakan pada sebuah meja di hadapan rumahnya dan tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamin dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. – UTUSAN ONLINE











