Mangsa langgar cedera dipukul dua lelaki di Tok Bali - Utusan Malaysia

Mangsa langgar cedera dipukul dua lelaki di Tok Bali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Seorang lelaki berusia 40-an bengkak muka, cedera bahagian mulut dan retak tulang lengan kanan selepas dipukul dua lelaki tidak dikenalinya dalam kejadian di Kampung Air Tawar, Tok Bali, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2.47 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Marzuki dikatakan dipukul dua lelaki selepas keretanya dilanggar dari arah belakang.

Menurut sumber, sebelum itu kereta Perodua Kancil mangsa dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Proton Saga yang dipandu seorang lelaki.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa bersama pemandu kereta itu keluar berbincang dalam keadaan baik dan lelaki yang melanggar kereta mangsa bersetuju untuk membayar RM400 di atas kerosakan yang berlaku.

“Sejurus selepas itu, datang beberapa ahli keluarga lelaki terbabit memarahi mangsa sebelum dua lelaki yang menaiki Honda Jazz bernombor pendaftaran Thailand memukul dan menumbuk di bahagian mulut serta menendang di bahagian lengan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa terpaksa melarikan diri selepas ada beberapa lagi lelaki yang datang menghampirinya untuk menyelamatkan diri. 

Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar di klinik berdekatan. 

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini