Kampung Kuala Koh ditinggal kosong - Utusan Malaysia

Kampung Kuala Koh ditinggal kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini bertindak meninggalkan kampung asal mereka selepas berlaku kematian mengejut sejak sebulan lalu.

Biarpun ada di antara penduduk terbabit hidup secara nomad namun sebahagian besar telah bermastautin di kampung itu selepas kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membina rumah untuk mereka.

Tinjauan di kampung itu hari ini mendapati semua rumah tersebut kosong tidak berpenghuni apabila penduduk mula berpindah ke kawasan lain dan di tepi Sungai Pertang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penduduk Orang Asli di kawasan itu seperti ‘pelarian’ apabila persekitarannya begitu daif dan tahap kebersihannya tidak terjaga.

Mereka juga telah membina khemah dengan menggunakan kanvas dan daun ‘cucuh’ sebagai tempat berteduh.

Seorang penduduk Midah Anjong, 70, berkata, penduduk sudah berpindah ke kawasan itu selepas Penghulu Kampung, Hamdan Keladi dan anaknya telah meninggal dunia.

Katanya, penduduk yang tinggal di rumah berkenaan mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat lain apabila semakin banyak kematian.

“Sepanjang kami tinggal di sini, tidak pernah berlaku kematian mengejut seperti ini selepas penduduk jatuh sakit.

“Penduduk yang mati sebelum ini agak menderita apabila demam panas, tubuh lemah, pening, muka merah akibat kepanasan, tekak dan tak boleh makan. Setiap hari penduduk sakit dan ramai penduduk dibawa keluar untuk terima rawatan ke klinik,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zeli Shahir Khan, 26, berkata, adik dan kakaknya turut meninggal dunia hampir sebulan lalu akibat sakit sama.

Katanya, sebelum ini penduduk tidak meminta bantuan luar kerana beranggapan itu penyakit biasa.

“Kami berharap agensi berkaitan menyiasat keadaan penduduk Orang Asli ini termasuklah sumber tadahan air kami,” katanya.

Sementara itu, Penghulu kampung itu, Raina Anjang memaklumkan sudah berlaku 14 kematian di kampung mereka.

Katanya, kebanyakan penduduk ditanam secara adat di dalam hutan termasuklah diikat pada batang pokok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini