PULAU PINANG – Tiga buah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan perairan Teluk Bahang di sini semalam selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, ketiga-tiga bot penumpang itu sedang dalam perjalanan membawa pelancong dari Jeti Teluk Bahang ke Pantai Kerachut ditahan pada jarak lebih kurang 0.18 kilometer dari Timur Teluk Duyong pada pukul 12.30 tengahari.
“Ketika pemeriksaan dilakukan tiga operator bot lelaki warga tempatan berumur lingkungan 29 hingga 38 tahun berada di atas bot.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dua daripada bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen dan dokumen yang sah serta tiada perlindungan insurans bot.
“Sebuah bot lagi beroperasi oleh bukan nakhoda seperti yang yang tercatit di dalam lesen bot.
“Ketiga-tiga bot berkenaan bersama operator bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut,”katanya.
Tambahnya, orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2620621. – UTUSAN ONLINE











