GUNDALUR, Kepulauan Faroe – Pemain tengah Sepanyol, Santi Cazorla, memuji rakan sepasukannya yang beraksi cemerlang ketika menundukkan Kepulauan Faroe 4-1, awal pagi tadi.
Pemain berusia 34 tahun itu membuat penampilan pertama selepas tiga tahun selepas beraksi cemerlang sejak kembali ke Villareal.
Sebelum ini, dia diberitahu tidak akan dapat berjalan lagi setelah melalui pembedahan melibatkan kulit akibat kecederaan tendon yang membuatkan dia terpaksa meninggalkan Arsenal selepas lima tahun.
Dia terlepas musim 2017-18 sebelum berhijrah ke Villareal dan kemudian membuat 35 penampilan dalam La Liga bagi kempen 2018-19.
Prestasi itu menyebabkan Luis Enrique memanggil semula Cazorla buat kali pertama sejak November 2015 dan detik itu menjadi sempurna buat La Roja menerusi kemenangan di Torshavn.
“Mudah untuk beraksi dengan pemain-pemain ini semula
“Mereka menjadikan permainan saya mudah. Saya gembira dapat kembali bersama skuad kebangsaan,” katanya.
Bagaimanapun, Cazorla berpendapat pasukan yang menduduki tangga ke-102 FIFA itu memberikan masalah buat mereka ketika mendahului 2-0 dalam 19 minit pertama.
Jaringan awal daripada Sergio Ramos dan Jesus Navas meletakkan La Roja di hadapan tetapi Klaemint Olsen merapatkan jurang selepas 30 minit permainan buat Kepulauan Faroe.
Walaupun jaringan sendiri daripada Teitur Gestsson memberikan kelebihan dua gol semula buat Sepanyol, tuan rumah lebih menyinar dalam separuh masa kedua dan membuat pelawat perlu bekerja lebih keras.-AGENSI











