KUALA LUMPUR – Rakyat disaran supaya memulaukan budaya untuk memiliki, memelihara dan menyimpan haiwan liar selain agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas termasuk kepada pihak penjual dan penangkap haiwan tersebut.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Haiwan Malaysia menjelaskan, kecenderungan untuk memiliki haiwan liar kini semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat sedangkan perbuatan tidak sihat itu adalah menyalahi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Haiwan seperti beruang matahari, ungka, memerang, monyet daun licin dan beberapa haiwan lain memerlukan permit khas kelulusan menteri yang mengawal selia urusan haiwan liar.
“Masyarakat Malaysia disaran supaya memulaukan budaya memiliki haiwan liar seperti ini kerana habitat sebenar haiwan-haiwan ini selayaknya di hutan. Haiwan-haiwan liar ini tidak sesuai dibuat sebagai haiwan peneman ataupun haiwan peliharaan di rumah,” katanya tersebut menerusi hantaran dalam akaun Facebook persatuan tersebut hari ini.
Semalam media melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang penyanyi wanita kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan di sini.
Wanita berusia 27 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 8 malam selepas pihak Perhilitan menerima maklumat awam dan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia turut menggesa agar Perhilitan menggesan penjual beruang matahari tersebut supaya turut dikenakan hukuman dan tindakan maksimum.
“Persatuan Haiwan Malaysia menggesa Perhilitan tidak hanya memfokuskan tuduhan hanya kepada artis yang memiliki haiwan liar tetapi mengesan siapakah penjual dan penangkap haiwan liar seperti beruang matahari ini dan mengheret semua yang terlibat sehingga dijatuhi hukuman maksimum kerana tahap kepupusan haiwan liar terancam ini diperingkat kritikal,” katanya.- UTUSAN ONLINE











