Kuala Lumpur – Seorang pekerja kolam udang di Jalan Rambungan, Sarawak hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam ketika menebas rumput di sekeliling kolam berkenaan semalam.
Susulan kejadian kira-kira 3.20 petang itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Penolong Pengarah Operasi, JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pada mulanya, kehilangan mangsa, Bertus Aleng, 29, yang merupakan warga Indonesia itu disedari pengurus kolam udang berkenaan, Jeffrey Chan Sung Woon.
Jelasnya, majikan mangsa menyangka pekerjanya itu sedang berehat selepas memotong rumput.
“Bagaimanapun, selepas menyedari mangsa tidak kelihatan untuk tempoh yang agak lama, Sung Woon bersama beberapa pekerja mencarinya dan menemui baju serta peralatan menebas rumput di tepi kolam.
“Mereka yang kemudiannya merasakan mangsa telah terjatuh ke dalam satu kolam tersebut terus menghubungi pihak bomba memaklumkan mengenai kejadian,” katanya di sini.
Tambah Ling Hii, operasi SAR itu akan tertumpu di beberapa kolam udang serta kawasan paya bakau berdekatan.
“Operasi SAR masih diteruskan hari ini dengan pencarian akan fokus di dalam kolam yang akan dilakukan oleh unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang akan menyelam pada kedalaman dua meter.
“Kami juga akan melakukan pencarian di kawasan sekitar di atas darat bantuan agensi lain iaitu polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa pekerja kolam,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










