PARIS – Penganjur kejohanan tenis Terbuka Perancis diselar kerana didakwa melakukan diskriminasi jantina ekoran tindakan memindahkan perlawanan separuh akhir perseorangan wanita dari gelanggang utama.
Tindakan tersebut disifatkan sebagai ‘tidak adil, tidak sepatutnya berlaku dan memalukan’.
Hujan lebat memaksa beberapa perlawanan suku akhir yang sepatutnya berlangsung kelmarin ditunda semalam manakala aksi separuh akhir berlangsung hari ini.
Bagaimanapun penganjur memutuskan, saingan separuh akhir pertama perseorangan wanita di antara Ashleigh Barty dan Amanda Anisimova akan dimainkan di Gelanggang Suzanne Lenglen.
Aksi di antara Johanna Konta dan Marketa Vondrousova pula dipindahkan ke Gelanggang Court Simonne-Mathieu yang lebih kecil dengan 5,000 tempat duduk.
Perlawanan separuh akhir lelaki di antara Roger Federer menentang Rafael Nadal dan Novak Djokovic bertemu Dominic Thiem akan berlangsung di gelanggang utama Philippe Chatrier yang mempunyai 15,000 tempat duduk.
“Kami amat kecewa dengan tindakan penganjur memindahkan kedua-dua perlawanan separuh akhir wanita dari gelanggang utama.
“Keempat-empat pemain wanita ini telah beraksi dengan amat baik dan berhak untuk bermain di pentas terbesar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Tenis Wanita (WTA), Steve Simon.
Jadual asal separuh akhir perseorangan wanita sepatutnya berlangsung semalam manakala final esok.
Separuh akhir perseorangan lelaki pula sepatutnya diadakan hari ini, diikuti final pada Ahad.
Bagaimanapun, hujan lebat pada Rabu lalu menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut dan jadual perlawanan diubah. – AFP











