Kesilapan 'budak sekolah' hukum England - Utusan Malaysia

Kesilapan ‘budak sekolah’ hukum England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUIMARAES, Portugal –  Gareth Southgate mempertahankan John Stones dan Ross Barkley selepas kesilapan dua pemain itu menyebabkan England tumpas 1-3 kepada Belanda dalam separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah di sini, hari ini.

Selepas mendahului menerusi sepakan penalti Marcus Rashford pada minit ke-32, England melakukan dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang menyebabkan mereka dihukum dalam permainan waktu tambahan.

Kesilapan pertama berlaku pada minit ke-97 apabila Stones seperti hilang fokus ketika membenarkan Memphis Depay merampas bola daripada kakinya sebelum melepaskan rembatan yang ditepis Jordan Pickford.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun Kyle Walker tertolak bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang Quincy Promes daripada melakukan sepakan susulan, sekali gus meletakkan Belanda 2-1 di depan.

Pada minit ke-114, giliran Barkley melakukan kesilapan apabila tolakan ke belakang dirampas pemain Belanda untuk membolehkan Promes menghukum Three Lions buat kali kedua.

Terdahulu, Matthijs de Ligt mengheret permainan ke masa tambahan selepas meledak gol penyamaan pada minit ke-73.

“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan pada waktu tambahan dan ya, ia sebahagian daripada punca kekalahan hari ini.

“Namun, apabila anda keletihan perkara itu boleh berlaku. Saya perlu pertahankan John kerana dia akan dikritik dengan teruk sedangkan dia dan Harry Maguire telah memikul tugas dengan baik selama ini,” kata Southgate.

Pengurus England itu percaya, pasukannya mempamer aksi lesu di Estadio D. Afonso Henriques bukan kerana taktik permainan, sebaliknya faktor keletihan.

Katanya lagi, dia terpaksa menurunkan beberapa pemain yang jarang beraksi dalam kelab dan merehatkan pemain lebih berpengalaman ekoran isu kecergasan.

Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling memakai lilitan kapten selepas Harry Kane dan Jordan Henderson yang baru pulang dari final Liga Juara-Juara direhatkan daripada kesebelasan utama.

England kini akan berdepan Switzerland dalam perebutan tempat ketiga, Ahad ini manakala Belanda bertemu Portugal pada perlawanan akhir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini