KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu langkah positif bagi memantapkan usaha mereformasi institusi terutama SPRM.
Presiden Parti Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, ini kerana Latheefa mempunyai rekod sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip khususnya kepada undang-undang yang tegas tanpa sebarang kompromi.
“Ciri-ciri ini menjadi elemen penting dalam menerajui sebuah badan yang berdepan dengan isu rasuah yang merupakan masalah paling besar di dalam negara ini.
“Adalah menjadi harapan kami dan semua yang menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara agar Latheefa mampu membawa SPRM menjadi sebuah badan yang paling berjaya di dalam era kerajaan baharu yang melakukan reformasi institusi khususnya dalam aspek rasuah,” katanya dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kejayaan memerangi rasuah khususnya perasuah-perasuah besar yang telah mencuri ratusan billion wang negara merupakan pra syarat penting jatuh bangun negara pada masa akan datang.
“Lathefa bersama SPRM tidak boleh gagal dalam melaksanakan misi paling penting ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











