Nekad peluk Islam walau berpisah dengan suami, anak - Utusan Malaysia

Nekad peluk Islam walau berpisah dengan suami, anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT – Kisah Nabi Muhammad SAW yang diceritakan seorang ustaz dalam kelas Pendidikan Islam ketika di bangku sekolah sering menarik perhatian Ong Po Swan, 42, menyebabkan dia berusaha mendalami Islam sebelum nekad memeluk agama ini, Februari lalu

Memilih nama Nur Amalina Ong, wanita itu berkata, susulan ditanggung amat berat, termasuk terpaksa bercerai dengan suami yang masih kekal dengan agama asal mereka serta berpisah dengan salah seorang anak yang masih di bawah jagaan lelaki itu.

Bagaimanapun, tidak sesekali terdetik di dalam hati menyesali keputusan itu kerana ketenangan yang diperolehinya cukup luar biasa selepas mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas bercerai dengan suami, saya juga terpaksa berpisah dengan salah seorang anak dijaga bekas suami. Empat lagi anak yang lain masih bersama saya walaupun kami berlainan agama.

“Ibu saya pada mulanya tidak boleh menerima keputusan saya memeluk Islam, lebih-lebih lagj saya anak bongsu daripada lima beradik dan merupakan anak perempuan tunggal keluarga,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kopitiam Galoq, di sini baru-baru ini.

Majlis berlangsung meriah itu mendapat kerjasama Persatuan Cina Muslim Kelantan (PCMK) dan turut dihadiri Pengerusi PCMK, Dr. Johari Yap serta pemilik Kopitiam Galoq, Rosli osman dan isterinya, Juwaidah Md. Haid.

Mengimbas semula kembali minatnya terhadap Islam ketika di sekolah rendah, Nur Amalina memberitahu, dia sanggup ponteng kelas Pendidikan Moral semata-mata mahu mengikuti kelas Pendidikan Islam.

“Ustaz banyak bercerita mengenai kisah-kisah nabi dan ini secara tidak langsung membuatkan minat saya untuk lebih mengenali Islam semakin mendalam.

“Semasa berada di asrama sekolah pula, saya selalu pergi ke surau bersama kawan-kawan yang mahu menunaikan solat berjemaah. Kemudian saya duduk di bahagian belakang surau dan memerhati gerak-geri mereka,” ujarnya.

Menurut Nur Amalina, hatinya mahu memeluk Islam sejak 10 tahun lalu namun hasrat itu terpaksa dipendam sendirian dan tanggal 26 Februari lalu akhirnya menjadi detik paling bermakna dalam hidupnya apabila berjaya melafazkan dua kalimah syahadah.

Sementara itu, Adam Mufid Chew Abdullah, 27, berkata, dia mendapat hidayah memeluk Islam apabila buat pertama kali bermimpi melihat sebuah masjid yang tersergam indah sebelum mencari jawapan terhadap mimpi tersebut, kira-kira empat tahun lalu.

Adam Mufid atau nama sebenarnya, Chew Wei Ming yang berasal dari Pahang terus bertanyakan kepada kawan-kawan beragama Islam sebelum mereka memberi cadangan supaya dia berjumpa dengan guru agama atau ustaz di pondok.

“Saya melayari internet mencari pondok-pondok di Malaysia dan secara tidak sengaja terjumpa Pondok Lubok Setol, Rantau Panjang.

“Saya keluar dari rumah di Temerloh, Pahang dengan memberitahu ibu mahu keluar mencari pekerjaan di Kuala Lumpur, sebaliknya saya ke pondok itu untuk mencari jawapan,” katanya yang tinggal dua minggu di pondok tersebut sebelum nekad memeluk Islam tanpa pengetahuan ibu.

Ibunya mengetahui perkara itu kira-kira setahun kemudian selepas sepucuk surat pertukaran kad pengenalan baharu diposkan ke rumah menyebabkan dia memilih untuk berterus terang kepada wanita itu.

“Mulanya agak susah juga untuk ibu terima kenyataan ini, namun lama-kelamaan hatinya semakin terbuka menerima agama baharu yang saya anuti ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini