KLUANG – Kegembiraan sebuah keluarga untuk pergi berhari raya bertukar duka apabila kereta Honda City yang dinaiki terbabas dan melanggar bahagian kiri pembahagi jalan di Kilometer 70 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini pukul 5.35 petang tadi.
Dalam kejadian tersebut, pemandu lelaki berusia 40-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Insiden tersebut disedari dan mendapat respon pantas anggota dari
Post Kawalan Sedenak diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hud Sanuse sebelum bersama-sama tujuh anggota, dua jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) berkejar ke tempat kejadian.
“Dalam kenderaan tersebut terdapat empat orang. Seorang pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi.
“Seorang lelaki warga emas terselamat, namun seorang wanita warga emas dan kanak-kanak perempuan mengadu sakit dada dan dihantar ke Hospital Kluang,” ujar Hud ketika dihubungi.
Beliau memberitahu, tiada mangsa tersepit dan identiti mereka masih belum dikenal pasti manakala operasi tamat sepenuhnya pukul 7.30 petang. – UTUSAN ONLINE











