KUALA LUMPUR – Pelumba Petronas Yamaha Racing (SRT), Fabio Quartararo dijangka dapat berlumba dalam Grand Prix (GP) Catalan dari 14-16 Jun ini selepas menjalani pembedahan di bahagian lengan bawah di Barcelona, Sepanyol, semalam.
SRT dalam satu kenyataan berkata, pembedahan selama sejam itu telah dilakukan oleh Dr Xavier Mir dan Jabatan Trauma dan Sains Sukan Institut Catalan (ICATME) di Hospital Universiti Dexeus.
Menurut pelumba Perancis berusia 20 tahun itu, pembedahan tersebut tidak dirancang sebelum ini, namun pasukan mengambil keputusan untuk melakukannya selepas berbincang dengan Dr Mir, minggu lalu sebaik sahaja tamat GP Itali bagi mengelakkan komplikasi di masa hadapan.
“Apa yang saya alami minggu lalu bukan sesuatu yang normal dan mereka memaklumkan kemungkinan akan berlaku masalah di lengan bawah.
“Saya lebih suka ia dirawat sekarang, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini di masa hadapan, dan membolehkan saya melupakan terus mengenainya untuk musim ini.
“Ia satu pembedahan pendek dan selalu dilakukan ke atas ramai penunggang, dan ia telah dilakukan oleh pakar.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mir dan pasukannya atas pembedahan itu. Saya tidak sabar untuk GP Catalan minggu hadapan!” kata pelumba rookie tersebut.
Peningkatan tekanan ke atas lengannya semasa perlumbaan akhir GP Itali, yang mana Quartataro menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 walaupun bermula dari petak kedua disebabkan permulaan yang teruk dan tayar hadapan yang terlampau panas telah memburukkan Sindrom Kompartmen pada otot ‘flexor’ bahagian tangan kanannya.
“Selepas diagnosis dilakukan, kami membuat keputusan untuk melepaskan otot flexor tersebut, dengan membuka tekanan tersebut.
“Pembedahan hari ini berjalan baik dan kini Quartataro akan menjalani rawatan untuk mengelakkan jangkitan dan akan berada di hospital untuk tempoh 24 jam.
“Dalam masa beberapa hari, dia akan mulakan fisioterapi dan berharap dia akan sihat untuk berlumba di GP Catalan,” kata Dr Mir.
Quartararo kini berada pada kedudukan ke-12 dalam kedudukan selepas mengumpulkan 31 mata selepas enam pusingan dan mendahului klasifikasi tahunan Pelumba Rokie dengan 19 mata mengatasi pelumba Sepanyol Joan Mir dari pasukan Suzuki Ecstar. – BERNAMA











