TAPAH – Seorang penunggang motosikal parah setelah terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah trak pikap jenis Isuzu D-Max di Kilometer 329, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.03 tengah malam.
Katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran dua buah kenderaan yang berpunca akibat kemalangan.
“Semasa bomba sampai di lokasi, pemandu kenderaan jenis Isuzu D-Max tiada di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang cedera parah dibawa ke hospital oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Anggota bomba melakukan operasi memadam kebakaran dua buah kenderaan itu yang masing-masing musnah terbakar 75 peratus bagi Isuzu D-Max manakala motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang mangsa pula terbakar 90 peratus,” katanya.
Menurut beliau, operasi memadam kebakaran kenderaan tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 1.41 pagi. – UTUSAN ONLINE











