KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin Tawau telah melaksanakan Op Gelora Khas Musim Perayaan untuk menguatkuasakan akta dan peraturan ke atas aktiviti air yang tertumpu kepada bot penambang khususnya.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisoner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi yang dijalankan di kawasan perairan laut pelabuhan dan laut CIQ Tawau itu, pihaknya telah menahan dan memeriksa sebanyak 45 buah bot penambang.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima buah bot penambang telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 iaitu kesalahan membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di dalam lesen operasi dan peralatan keselamatan tidak lengkap termasuklah tiada jaket keselamatan.
“Sebanyak lima kompaun atau saman telah dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan dan kesemua kesalahan tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Pajeri, operasi itu secara tidak langsung meningkatkan kesedaran orang awam dan pengusaha atau juragan bot penambang itu sendiri agar lebih peka dan prihatin terhadap keselamatan diri, orang lain dan harta benda.
“Juragan bot penambang juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan cermat semasa membawa penumpang agar boleh sampai ke destinasi dengan selamat terutamanya di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











