KOTA TINGGI – Kegembiraan sebuah keluarga mandi-manda di Pantai Tanjung Balau, Penawar dekat sini berakhir duka apabila seorang daripadanya lemas manakala dua lagi berjaya terselamat kira-kira pada pukul 1 petang tadi.
Mangsa, R. Ramesh, 44, meninggal dunia akibat lemas manakala seorang mangsa lelaki, P. Arun, 29, dan mangsa wanita, T. Bavani, 38, berjaya diselamatkan.
Pegawai Bomba Kanan II Abd. Rahim Abd. Rani bersama-sama empat anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut Abd. Rahim, mangsa meninggal dunia ketika ketika cuba menyelamatkan dua lagi mangsa lelaki dan wanita tersebut.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diambil oleh pelancong yang berada di sana dan membawanya ke darat. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN ONLINE











