Banjir lumpur jejas persiapan raya penduduk - Utusan Malaysia

Banjir lumpur jejas persiapan raya penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi kira-kira 35 keluarga di Taman Sri Penaga 2, Sikamat di sini terjejas selepas kawasan perumahan itu dilanda banjir kilat petang semalam.

Banjir berlaku kira-kira pukul 5.30 petang selepas hujan lebat lebih satu jam menyebabkan air lumpur memasuki rumah penduduk di Jalan 14, 16 dan 19 di perumahan itu.

Menurut Pengerusi penduduk taman perumahan tersebut, Razal Mansor, ini merupakan banjir kilat kali kedua selepas kejadian sama pada awal bulan Ramadan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Banjir kilat yang membawa lumpur dipercayai berlaku ekoran projek pembinaan perumahan baharu di kawasan bukit berdekatan rumah kami.

“Selepas kejadian pertama, saya telah berjumpa pemaju projek itu dan mereka datang melihat masalah ini tapi tiada tindakan bagi mengatasinya.

“Sudah 10 tahun saya tinggal di sini tidak pernah dilanda banjir kilat sehinggalah projek itu dijalankan. Yang membimbangkan, kejadian kali ini lebih serius berbanding sebelum ini,” katanya.

Menurut Razal lagi, dalam kejadian petang tadi sebahagian besar penduduk terpaksa berbuka puasa di dalam rumah yang dinaiki lumpur.

“Sudah tentu sepanjang malam ini kami terpaksa membersihkan rumah, sedangkan esok akan menyambut hari raya.

“Persiapan raya terjejas, bagaimana hendak memasak rendang dan juadah lain dalam keadaan rumah seperti ini,” katanya.

Menurut Razal, penduduk meminta supaya pihak bertanggungjawab mengatasi masalah itu segera dan mengelaknya daripada berulang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini