KEPALA BATAS – Polis menahan tiga pengedar dadah warga tempatan dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar di daerah ini bermula semalam hingga awal malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi berkenaan dilakukan di beberapa buah rumah di kawasan Mak Mandin, Butterworth dan Raja Uda di sini.
“Dalam serbuan pertama yang dilakukan di Butterworth dan Mak Mandin antara pukul 1 hingga 3 pagi, polis menahan dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun.
“Dalam serbuan ini, polis merampas 610 biji pil eramin 5 dan 17.8 gram syabu bernilai RM12,500 selain menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda serta wang tunai RM1,000,”katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, serbuan kedua pula diadakan di Jalan Bunga Tanjung, Raja Uda dan di sini polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam hari ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyimpan sejumlah dadah dipercayai heroin bernilai RM800,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











