LONDON – Legenda Liverpool Steven Gerrard menyifatkan Jordan Henderson sebagai pemain profesional paling bernilai selepas mengetuai pasukannya memburu kejayaan Liga Juara-Juara.
Liverpool memenangi gelaran Raja Eropah selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada perlawanan akhir di Madrid, dengan melalui fasa mengagumkan apabila membuat kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 0-3 kepada Barcelona.
Gerrard yang juga bekas ketua pasukan Reds mengakui kapten Liverpool itu berhak mengecapi kejayaan menerusi gaya kepimpinannya.
“Ketika Jordan (Henderson) menjulang trofi, perasaan pertama saya adalah rasa bangga.
“Bangga terhadap Liverpool yang kini kembali menjadi gergasi bola sepak Eropah dan saya berbangga terutama kepada Jordan kerana saya tahu dia bekerja keras. Saya tahu pengorbanan yang dia telah lakukan, tekanan dan pengawasan.
“Jika saya diminta untuk menamakan seorang pemain profesional paling bernilai, saya fikir Jordan adalah calon selayaknya. Dia sangat bersih dalam gaya hidup sehariannya.
“Sesetengah orang tidak melihat perkara di sebalik tabirnya, kerja gim, cara dia makan, tetapi Jordan merupakan seorang model yang luar biasa,” ujarnya.- AGENSI











