KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 6 Jun bersamaan 2 Syawal.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, majlis itu akan diadakan di Istana Abdulaziz di sini bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang.
“Semua rakyat jelata dijemput hadir dengan berpakaian kemas yang bersesuaian dalam tempoh berkabung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Khirrizal berkata, bagi melancarkan pergerakan trafik dan kemudahan kepada tetamu, perkhidmatan bas pengantara disediakan di dua lokasi iaitu di tempat letak kereta galeri Kotasas dan tempat letak kereta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini.
“Para tetamu boleh meletakkan kenderaan di lokasi tersebut dan menaiki bas pengantara yang disediakan untuk ke Istana Abdulaziz,” katanya. – UTUSAN ONLINE











