Lelaki terkunci 30 minit dalam premis ATM - Utusan Malaysia

Lelaki terkunci 30 minit dalam premis ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN – Seorang lelaki yang mahu mengeluarkan wang di premis mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini terperangkap selama kira-kira 30 minit apabila pintu premis berkenaan terkunci secara automatik semalam.

Pintu premis ATM itu terkunci secara automatik selepas pukul 12 malam sebelum sempat lelaki itu mengeluarkan wang.

Untuk membuka kunci premis tersebut, pegawai bank berkenaan terpaksa datang ke premis itu dengan diiringi anggota polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lelaki berkenaan, Mohd Zamirul Hisham, 24, dari Seberang Perak dekat sini berkata, dia masuk di premis bank di Jalan Ah Cheong pada kira-kira pukul 12 malam.

Menurutnya, sebelum sempat dia mengeluarkan wang, tiba-tiba pintu premis berkenaan terkunci secara automatik.

“Rasa gementar dan takut juga terkurung selama 30 minit. Akhirnya saya lega setelah pegawai bank membuka kunci pintu premis ini,” katanya ketika ditemui.

Selain polis, anggota bomba juga berada di tempat kejadian.

Sementara itu, pegawai bank berkenaan yang hanya mahu dikenali Teoh berkata, pintu premis ATM bank itu akan terkunci acara automatik 10 minit selepas pukul 12 malam.

Katanya, hanya pegawai bank yang mempunyai kunci untuk membuka pintu berkenaan.

“Ini merupakan kes kedua dalam minggu ini. Kami menasihatkan pelanggan supaya membaca notis yang diletakkan pada pintu premis ini.

“Kalau sudah terkunci, hanya pegawai bank sahaja yang boleh membukanya tapi sebelum itu kami mesti minta bantuan pihak polis untuk menemani kami membuka pintu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini