WASHINGTON 4 Jun – Amerika Syarikat (AS) akan menjual 34 dron pengintip kepada empat sekutunya di wilayah pertikaian Laut China Selatan.
Menurut Pemangku Setiausaha Pertahanan, Patrick Shanahan seperti dipetik agensi berita Reuters, tindakan itu dibuat selepas Washington tidak lagi perlu ‘mengintip’ tingkah laku China di Asia.
Dron berkenaan mampu memberikan keupayaan mengumpul data perisikan yang lebih hebat dan berpotensi mengekang aktiviti China di Laut China Selatan.
Jumaat lalu, Pentagon mengumumkan akan menjual 34 dron ScanEagle yang dibangunkan oleh Boeing, kepada kerajaan Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Penjualan kesemua dron tersebut bernilai AS$47 juta (RM196 juta).
Jelas Pentagon, penjualan itu melibatkan alat ganti dan baik pulih, peralatan sokongan, alat-alatan, latihan dan perkhidmatan teknikal serta kerja-kerja pemasangan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2022.
Sebanyak 12 dron bernilai AS$19 juta (RM79.4 juta) dibeli oleh Malaysia manakala Indonesia membeli lapan dron.
Filipina turut membeli lapan dron dan enam dron lagi dibeli oleh Vietnam.
China menuntut hampir semua kawasan Laut China Selatan dan sering kali mengecam operasi Tentera Laut AS dan sekutunya berdekatan pulau-pulau buatan Beijing.
Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Taiwan dan Vietnam turut menuntut wilayah berkenaan.










