Wany, Ismail raikan kesucian kasih ibu - Utusan Malaysia

Wany, Ismail raikan kesucian kasih ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERSEMAT satu persamaan manis terlingkar di sepanjang kelana nyanyian milik dua penyanyi muda Wany Hasrita dan Ismail Izzani.

Selain berjaya mengukuhkan nama sebagai pelantun suara dalam masa yang agak singkat, kedua-dua penghibur pentas itu juga turut mempunyai ‘tulang belakang’ yang sangat ampuh membantu melestarikan kerjaya seni masing-masing.

Tulang belakang yang dimaksudkan adalah kehadiran dua ‘malaikat dunia’ yang bergelar ibu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baik Wany mahupun Ismail, kedua-duanya menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada bonda tercinta, iaitu Norita Jaafar dan Datin Suzila Salam bagi meneruskan pendakian cita-cita mereka.

Kepercayaan

Menyingkap kembali detik-detik awal kariernya, sewaktu Ismail membuka mulut meluahkan keinginan untuk menjadikan nyanyian sebagai kerjaya utama, terlintas perasaan kurang selesa Suliza terhadap keputusan anaknya. Bukan menolak secara mentah, cuma keyakinannya berbalam-balam.

Menurut penyanyi era 1980-an itu, Ismail tidak memiliki vokal yang dirasakan luar biasa hebat dan lagu-lagunya pula berbeza dengan cita rasa masyarakat zaman sekarang.

“Ismail boleh menyanyi, tetapi vokalnya tidak sehebat Jamal Abdillah. Selain itu, genre muzik yang dibawakan berbeza. Saya risau jika kehadiran Ismail tidak diterima.

“Alhamdulillah, selepas mencuba dengan beberapa single, dia mula mendapat rentak. Barangkali, peminat menyukai apa yang dibawakan dan muziknya kedengaran unik.

“Disebabkan itu, Ismail mampu meletakkan kariernya di atas landasan yang betul,” ujar Suliza membuka bicara.

Mempunyai pengalaman sebagai penyanyi puluhan tahun lalu, Suliza berkata, apa yang Ismail perlu lakukan adalah mengambil tahu kehendak masyarakat.

“Jika kita tahu apa yang khalayak suka dengar, insya-Allah kita boleh kekal dalam industri,” katanya lagi.

Sebagai anak, Ismail pula sangat beruntung kerana ibunya sering memberi nasihat, terutama dalam pemilihan lagu.

“Apabila saya ingin merakamkan lagu baharu, saya pasti akan bertanyakan pendapat ibu. Selalunya, pendapat tersebut sangat membantu!” celah Ismail.

Restu

Tindakan hampir juga dilakukan Norita dan ternyata doa serta restu ibu merupakan senjata utama bagi memastikan kerjaya seorang anak sentiasa mengalir tanpa banyak rintangan.

Suatu ketika dahulu, Norita pernah tidak merestui keputusan Wany Hasrita untuk menceburkan diri dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, fikirannya berubah apabila melihat status selebriti yang digalas oleh puterinya itu adalah bukti bahawa Tuhan telah menyusun takdir seseorang. Tinggal lagi, untuk mencantikkan hasilnya dengan doa.

“Mulanya, saya tidak mahu Wany menjadi penyanyi. Namun, pada masa yang sama, saya diberhentikan kerja dan menganggur selama empat bulan. Duit pampasan yang diterima hanya cukup untuk lapan bulan.

“Jadi, saya terpaksa berdamai dengan takdir dan merestui kerjaya nyanyian Wany. Alhamdulillah, kerjayanya berjalan dengan baik dan dia dapat membantu keluarga,” katanya.
Sejak bergelar penyanyi dua tahun lalu, Wany telah mengambil tanggungjawab menguruskan keluarga dan menyediakan kelengkapan harian untuk ibunya.

“Selama lebih dua dekad saya yang menyara Wany, tiba-tiba dia pula menguruskan saya. Agak pelik pada mulanya. Namun, lama-kelamaan, saya sudah terbiasa,” ujar Norita sambil menyifatkan Wany sebagai seorang anak yang baik dan bertanggungjawab.

Bagi Wani, pesan ibu tercinta supaya sentiasa menjaga solat dan akhlak adalah pegangan yang tersemat di jiwa sepanjang masa.

“Menurut ibu, jika kita menjaga solat dan akhlak, kita pasti tidak akan tergelincir, insya-Allah,” ujar Wany ringkas.

Raya

Bercerita lanjut tentang Ramadan pada tahun ini, Suliza berkata, ibadah berpuasa sedikit berbeza kerana Ismail kini tinggal berasingan daripada keluarga.

“Kadang-kadang risau juga memikir Ismail bersahur atau tidak dan adakah dia sempat membeli juadah berbuka atau tidak.

“Tetapi, sebagai seorang ibu yang telah bersedia melepaskan anaknya untuk berdikari, saya perlu belajar untuk menerima hal sebegini dengan hati terbuka,” katanya.

Berkenaan sambutan raya, Ismail menjelaskan, tahun ini mereka sekeluarga pulang ke Johor Bahru pada 1 Syawal kerana terlibat dengan komitmen kerja sehari sebelumnya.

“Pertama kali saya pulang lewat ke kampung. Tetapi, saya tetap akan berada di sana selama seminggu untuk menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga dan sanak-saudara,” katanya lagi.

Sementara itu, Wany dan Norita pula memilih untuk menyambut hari raya secara sederhana, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Biasanya, saya dan ibu tidak terlalu obses untuk mengemas atau menceriakan rumah. Selalunya kami hanya akan sediakan dua persalinan untuk hari raya pertama dan kedua. Selebihnya, biasa-biasa sahaja,” ujar Wany.

Tambah penyanyi lagu Terlalu Memuja itu, tahun ini sedikit berbeza kerana dia pulang ke Johor untuk menyambut hari raya dengan bapanya.

“Biarpun mereka (ibu bapa) berpisah ketika saya masih kecil, namun saya beruntung kerana perpisahan tersebut tidak memberikan sebarang masalah buat saya.

“Hubungan saya dengan ayah dan keluarganya masih baik. Sehingga ke hari ini, saya akan cuba meluangkan masa untuk bertemu dengan keluarga sebelah ayah terutama pada hari raya,” ujar Wany menutup perbualan.

Kerjaya seni Wany Hasrita dan Ismail Izzani terus mekar dek sokongan ampuh oleh ibu masing-masing.

Ibu ibarat ‘malaikat’ kiriman Tuhan untuk anak-anak. Wany Hasrita dan Ismail Izzani pula bertuah kerana mempunyai ibu yang menjadi cahaya penerang ‘denai seni ‘ masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini