Anak muda Kg. Sungai Petani pasang 500 pelita raya sepanjang 2km - Utusan Malaysia

Anak muda Kg. Sungai Petani pasang 500 pelita raya sepanjang 2km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU – Tradisi memasang pelita sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menyemarakkan lagi kemeriahan menyambut perayaan itu.

Bahkan usaha itu menterjemahkan semangat anak muda di Kampung Sungai Petani, Changlun, di sini menghidupkan amalan berkenaan dengan berganding bahu memasang lebih 500 pelita sepanjang dua kilometer di jalan utama kampung tersebut.

Bermula dengan mencari buluh untuk dijadikan tiang pelita, mereka juga membahagi tugas termasuk mengutip wang dari setiap rumah penduduk untuk menampung kos membeli minyak dan peralatan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nik Mohd. Faiz Nik Mohd. Khairul Nizam , 17, berkata, usaha itu digerakkan setelah memasuki pertengahan Ramadan apabila mereka mula melakukan persediaan untuk meneruskan tradisi memasang pelita bagi tahun kedua di kampung itu.

“Penglibatan anak muda di kampung ini untuk memasang pelita bukan sahaja pada usia 20-an dan ke atas, tetapi kami yang masih bersekolah termasuk di sekolah rendah juga sama-sama menyumbang tenaga untuk menjayakan aktiviti ini.

“Ini tahun kedua kami memasang pelita di sepanjang jalan kampung dengan menambah kira-kira 150 pelita lagi berbanding hanya 350 pelita tahun lalu,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Nik Mohd. Faiz yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun berkata, usaha itu bukan sahaja bagi menghidupkan tradisi masyarakat terdahulu, tetapi menunjukkan semangat kerjasama semua penduduk tanpa mengira usia.

“Kami lakukan ini untuk mengekalkan tradisi turun-temurun selain mahu memperindah suasana raya terutamanya kepada anak-anak jati kampung yang pulang untuk berhari raya,” katanya.

Bagi Suriati Ahmad, 40, pemasangan pelita di kampung mereka turut menarik kehadiran orang luar yang mahu melihat keunikan dan tradisi dikekalkan penduduk di situ sempena kedatangan Syawal.

“Apa yang menarik pelita ini dipasang bermula dari permulaan simpang sehingga ke penghujung kampung selain terdapat pemilik rumah yang menambah bilangan pelita di kawasan halaman rumah masing-masing untuk menceriakan lagi suasana,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Petani, Noor Mohamad Darus berkata, pihaknya memberi sokongan kepada usaha yang dilakukan golongan muda di kampung itu untuk menghiasi jalan tersebut.

“Jalan ini juga sebagai laluan utama pengguna yang mahu ke Kuala Nerang dan Napoh dari arah Bukit Kayu Hitam, jadi pemasangan pelita ini bertepatan kerana kami boleh berkongsi keceriaan menyambut Aidilfitri dengan orang lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini