KLANG – Seramai 1,000 penduduk sekitar Sungai Udang, Klang menerima sumbangan dua ekor ayam untuk dijadikan juadah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Selat Klang merangkap Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pihaknya meneruskan tradisi sekali lagi pada tahun ini bagi membantu masyarakat membuat persiapan sempena Aidilfitri dengan menyumbang bekalan ayam mentah kepada setiap individu.
“Program ini telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu, apabila seorang individu yang tidak mahu namanya dikenali bersedia bekerjasama dan bermurah hati menyumbangkan ayam mentah untuk bekalan Aidilfitri bagi meringankan beban masyarakat setempat menyambut perayaan,” ujarnya ketika ditemui pada program tersebut.
Menurut Abdul Rashid, program tersebut diadakan dua kali setahun iaitu sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.
“Program ini menggunakan sepenuhnya peruntukan daripada sumbangan penderma dan tidak melibatkan dana daripada pihak kerajaan.
“Ketika menjelang aidilfitri, kita agihkan ayam, manakala agihan daging sempena aidiladha,” ujarnya yang turut merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang yang bermurah hati membantu orang ramai khususnya di kawasan DUN Selat Klang.
“Saya berharap program ini dapat teruskan pada masa akan datang bagi meringankan bebanan masyarakat setempat terutama daripada golongan kurang berkemampuan membuat persiapan hari raya.-UTUSAN ONLINE










