ATLET-ATLET kebangsaan diberi amaran keras supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan bahan suplemen sekiranya tidak mahu berdepan kemungkinan positif bahan terlarang menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Filipina November depan.
Amaran tersebut dilaungkan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr. SS Cheema yang mahu rekod baik berhubung penggunaan bahan terlarang pada edisi terdahulu dikekalkan pada penganjuran kali ini.
Pada dua edisi terdahulu di Singapura dan Kuala Lumpur, kontinjen Malaysia tidak dilanda banyak kontroversi apabila hanya seorang atlet didapati positif ujian doping, justeru Cheema berharap isu tersebut tidak timbul lagi pada penganjuran di Filipina.
Beliau berkata, sukan-sukan yang sering menjadi perhatian serta berdepan ujian doping adalah sukan menggunakan fizikal serta tenaga yang banyak terutamanya renang dan olahraga.
“Pada Sukan SEA yang lalu, kontinjen Malaysia tidak berdepan banyak isu doping dan kali ini juga, kita mahu semua atlet faham kita tidak akan bertoleransi dengan mana-mana atlet yang terlibat dengan doping kerana MOM sangat tegas dengan perkara ini.
“Saya fikir semua atlet sudah bijak dan tahu mengenai perkara ini. Apa yang paling penting adalah jangan sewenang-wenangnya menggunakan suplemen kerana kita tidak tahu sama ada bahan yang digunakan dibenarkan ataupun tidak,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.
Pada masa sama, Cheema juga menggesa mana-mana atlet yang berhasrat untuk menggunakan suplemen agar merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan makanan tambahan diambil itu bebas daripada bahan-bahan terlarang.
“Sekiranya ada atlet yang mahu mengambil suplemen, adalah sebaik-baiknya mereka rujuk terlebih dahulu kepada pihak ISN dan jangan buat keputusan sendiri. Jangan mudah percaya dengan cakap-cakap orang yang mahu anda menggunakan suplemen berkenaan.
“Berhubung saringan atlet, kebiasaannya kita akan saring 70 peratus daripada jumlah atlet pada bila-bila masa sahaja di bawah Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas). Kita tidak akan beritahu mereka tetapi atlet perlu bersedia untuk menjalani ujian doping,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, MOM berharap untuk mengekalkan rekod baik kontinjen negara yang kurang terpalit dengan penggunaan bahan terlarang dalam edisi-edisi terdahulu.











