KEMAMAN – Seorang pelajar UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI) Bangi, Selangor maut apabila motosikal yang ditunggangi berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 120 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhadapan Kompleks Rantau Petronas dekat sini petang ini.
Mangsa , Mohamad Akram Noordin, 25, dari Kampung Gong Chengal, Kemasik meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kemalangan berlaku pukul 5 petang sewaktu mangsa dalam perjalanan dari arah Kemaman ke Kuala Terengganu.
Katanya, setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa gagal mengelak sebuah kereta jenis Proton Wira yang keluar dari susur Mesra Mall menghala ke jalan utama menuju bandar Cukai.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











