KUALA LUMPUR – Menempuh perjalanan sejauh 230 kilometer (km) setiap minggu hanya semata-mata mahu menjalani latihan bersama skuad goalball negara merupakan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh Nur Shazatul Nadhirah Mohd. Shuhaidi.
Shazatul berkata, dia memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk perbelanjaan pengangkutannya dari Ipoh ke Kuala Lumpur bagi meneruskan minat dalam sukan goalball yang diceburi sejak berusia 15 tahun.
“Duit saya banyak diperuntukkan untuk membeli tiket kereta api, saya tidak kisah sebab memang minat dengan sukan ini.
“Pada mulanya saya berdepan kesukaran kerana memiliki susuk tubuh yang kecil, selain, terpaksa memikul bola yang berat, namun, hasil latihan menggunakan lontar peluru saya dapat mengatasi masalah itu.
“Sukan ini nampak mudah, namun, ia menguji tumpuan serta memerlukan daya pendengaran yang tinggi. Mendapat luka-luka kecil itu perkara biasa dalam sukan ini,” katanya yang merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Atlet berusia 19 tahun itu menjalani latihan dan bakal menyertai Kejohanan Remaja Dunia yang julung kalinya diadakan di Australia pada 2 hingga 10 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE










