KUALA LUMPUR – Pesilat negara, Taqiyuddin Hamid mengakui agak sukar untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya menerusi acara ganda putera dalam Sukan SEA kali ini.
Katanya, ini kerana pada temasya yang akan berlangsung di Manila itu, dia digandingkan dengan pesilat lain, Sazzlan Yuga yang memenangi pingat perak pada edisi di Kuala Lumpur menerusi regu putra.
“Semasa Sukan SEA dua tahun lalu, saya digandingkan dengan Rosli Sharif dah berjaya memperoleh emas. Tapi kali ini dengan Sazzlan, jadi usaha untuk mempertahankan pingat itu agak sukar.
“Saya sasarkan untuk meraih perak kerana masih di dalam proses mencari keserasian,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama atlet kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.
Taqiyuddin, yang juga merupakan seorang anggota polis, bagaimanapun, pernah memenangi emas dalam Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Singapura bersama Sazzlan pada Disember lalu.
Ditanya apakah cabaran yang mereka hadapi menjelang temasya itu yang akan berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini, Taqiyuddin, 26, berkata, dia kini sedang bergelut dengan masa untuk menjalani latihan.
“Cabaran utama bagi saya dalam usaha mencari keserasian adalah masa kami yang terhad. Ini kerana saya bekerja dan selepas waktu itu baru kami berlatih bersama,” katanya yang tidak menafikan tetap mahu berusaha menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara. – UTUSAN ONLINE










