LONDON – Kapten England, Harry Kane menegaskan, dia sudahpun melupakan kekecewaannya ekoran kekalahan Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara kepada Liverpool, apabila pemain kedua-dua pasukan itu akan bertemu bagi menjalankan tugas di pentas antarabangsa, minggu ini.
Kane kembali beraksi dalam perlawanan akhir di Madrid selepas dua bulan berehat akibat kecederaan, tetapi pemain itu kelihatan tidak cukup cergas setelah mempamerkan persembahan mengecewakan bersama Spurs.
Selain Kane, Dele Alli, Danny Rose dan Eric Dier yang turut beraksi dalam skuad bimbingan Mauricio Pochettino, manakala trio Liverpool, Jordan Henderson, Trent Alexander-Arnold serta Joe Gomez antara 23 pemain yang dipanggil Gareth Southgate.
“Anda tidak perlu memberitahu kepada orang lain tentang usaha untuk melupakan seketika tentang kelab. Semua orang akan melakukannya secara semula jadi dan walaupun, kami bertembung sesama sendiri dalam perlawanan bersama kelab, tetapi kami saling mengenali sejak beraksi bersama skuad muda England dan kami bersahabat baik.
“Sama ada anda di Spurs atau (Manchester) City mahupun Liverpool, kami telah mengenali antara satu sama lain cukup lama. Apabila anda datang ke sini, anda cuma perlu memandang ke depan dan meneruskan persahabatan seperti biasa,” kata Kane.
England berpeluang mencatat kemenangan dalam pertandingan pertama sejak 1966 dalam kejohanan Liga Negara-Negara Eropah yang julung kali diadakan tahun ini. Three Lions akan bertemu Belanda dalam separuh akhir kedua, Jumaat ini.
Kane percaya adalah penting untuk England merangkul sebuah trofi, sebagai usaha membina momentum pada Kejuaraan Eropah, tahun depan.
“Ini pertandingan baharu, peluang England untuk memenangi trofi amat cerah. Kali terakhir kami menjulang piala ialah pada 1966, ia sudah cukup lama. Saya rasa jika kami teruskan dengan kemenangan, ia akan menjadi batu loncatan untuk mencapai sesuatu yang besar pada masa depan,” ujar Kane. – AFP










