Bertanjak, berkeris pada hari Lebaran - Utusan Malaysia

Bertanjak, berkeris pada hari Lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI Raya Aidilfitri di negara ini sinonim dengan suasana yang meriah. Lagu-lagu raya berkumandang di corong radio, rumah dihias cantik dan hidangan tersedia menanti untuk dijamah oleh tetamu.

Pada hari mulia itu, orang Islam digalakkan untuk memakai pakaian baharu dan bersih sebagai tanda meraikan kemenangan melawan nafsu pada bulan Ramadan.

Tidak kira sama ada di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur atau Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, pemandangan sibuk di kedai dan butik terkemuka menjadi norma menjelang hari Lebaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Orang ramai berpusu-pusu mencari baju yang ingin digayakan bersama ahli keluarga dan sanak saudara. Bahkan, ada yang sanggup beratur berjam-jam lamanya untuk mendapatkan aksesori pakaian yang dimahukan.

Di sebalik gelombang populariti jubah dan kurta yang melanda negara tahun-tahun kebelakang ini, ada segelintir orang Melayu yang masih utuh jati diri dan kemelayuannya.

Bagi pencinta budaya, warisan dan penggiat busana Melayu, Hari Raya Aidilfitri menjadi sambutan yang ditunggu-tunggu untuk menggayakan busana klasik bangsa.

Para penggiatnya terdiri daripada individu mahupun ahli persatuan seperti persatuan bela diri atau tarian kebudayaan.

Kehadiran penggiat busana mampu mencuri tumpuan ribuan mata yang hadir untuk solat sunat Aidilfitri di masjid.

Itulah pengalaman yang dirasai oleh seorang penggiat busana, Amerudin Mohammad, 39, semasa menggayakannya di Masjid Negara bersama-sama beberapa penggiat busana lain pada Lebaran lalu.

“Selesai sahaja solat sunat Aidilfitri, ketika ingin berangkat pergi, orang ramai mengerumuni kami untuk bergambar.

“Tidak kurang juga pelancong luar negara yang ingin bergambar bersama,” katanya ketika ditemui K2 di Galeri Warisan Angsari di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Hulubalang

Kelihatan saling tak tumpah seperti pendekar dan hulubalang Melayu yang bertanjak sambil menyinsing keris, pelancong luar pasti terpesona melihat penampilan itu.

Tambah Amerudin, dia mula berjinak-jinak dengan busana pada tahun 2015, bersama-sama rakannya daripada Persatuan Seni Kuntau Nakhoda Sug.

Sebelum itu, dia hanya terlibat dalam seni bela diri kuntau, namun sedikit sebanyak terpengaruh dengan trend pemakaian busana yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat seni bela diri.

“Ketika itu saya dapat melihat banyak corak, jenis dan gaya pemakaian busana yang berwarna-warni.

“Sejak itu, saya dan rakan-rakan lain kerap memakai busana Melayu ke majlis-majlis lain seperti rumah terbuka, majlis berbuka puasa dan majlis perkahwinan,” terangnya.

Tidak hanya memakainya pada hari Lebaran, Amerudin turut mengenakan busana berserta tanjak semasa sambutan Hari Kebangsaan.

“Pada hari itu, saya memandu Grab dan mengenakan busana. Ramai terkejut tetapi reaksi yang paling saya ingati ialah seorang wanita India tempatan yang malu kerana sudah melupakan pakaian tradisionalnya sendiri,” katanya.

Meskipun masih ada suara-suara sumbang yang memandang sinis dengan gaya pemakaian penggiat busana, Amerudin dan Riza berkata, telinga mereka dan penggiat lain sudah lali dengan pandangan seperti itu.

“Kadang-kadang bila keluar di tempat awam, ada yang berbisik sambil ketawa dan menyindir, Hang Tuah ke ni!”

“Bahkan dalam dunia media sosial lebih teruk, sampai ada yang mendakwa kami taksub dengan bangsa berbanding agama,” ujar Amerudin.

Lebih mudah

Keasyikan menggayakan busana turut dikongsi oleh Ahmad Riza Hashim, 46, yang juga pengamal seni bela dan senjata tradisional Melayu. Dia turut tidak ketinggalan menggayakan busana Melayu pada hari raya.

“Jika kita menggayakan busana ketika solat raya, pasti akan terjumpa beberapa individu lain yang turut mengenakannya.

“Kita akan bertegur sapa dan bertanya mengenai busana masing-masing. Ia dapat mengeratkan persaudaraan antara penggiat busana walaupun sebelum ini kami tidak mengenali antara satu sama lain,” ujarnya.

Melihat pada aksesori yang banyak seperti keris, pending dan tanjak, pasti mengambil masa yang lama untuk seseorang itu bersiap.

Namun, berbusana Melayu sebenarnya tidak serumit yang disangka.

“Contohnya, samping yang dipakai dengan cara biasa memerlukan si pemakai melipatkannya beberapa kali bagi mendapat kekemasan.

“Namun, ikatan samping jenis kandis, sebenarnya lebih mudah jika sudah dikuasai cara memakainya. Selain itu, kita tidak perlu risau samping terlondeh kerana ia telah dipakai sekali dengan pending,” katanya yang bekerja sebagai penjawat awam.

Justeru, busana Melayu lebih mudah digayakan pada hari besar itu kerana kebiasaannya seseorang banyak bergerak untuk menziarahi rumah atau menyambut tetamu yang hadir.

Katanya, banyak yang dipelajarinya selepas melibatkan diri dalam pemakaian busana Melayu itu.

“Selepas mula bergiat, kita akan mengetahui susur galur sesuatu pemakaiannya, iaitu pada zaman atau kesultanan mana asalnya sesuatu jenis busana,” ujarnya.

Bagi Ahmad Riza pula, pemakaian busana melambangkan suruhan Tuhan yang meminta umat manusia berkenal-kenalan antara kaum dan bangsa.

“Yang penting bagi kami adalah kemahuan kami sendiri untuk menonjolkan budaya tradisi melalui busana Melayu,” tambahnya.

Mampu milik

Seperti Amerudin, Ahmad Riza juga sudah terbiasa dengan sindiran termasuk daripada kaum keluarga.

Sementara itu, Pengurus Galeri Warisan Angsari, Putri Eliza Megat Nazam berkata, permintaan terhadap busana sememangnya meningkat ketika musim perayaan.

“Kebiasaannya pembeli datang beramai-ramai bersama adik-beradik dan ahli keluarga untuk memilih corak dan jenis busana yang diingini.

“Selain menerima tempahan, kami menyediakan busana lelaki yang telah siap dan ini memudahkan orang awam untuk memilih baju yang diingini tanpa perlu menunggu masa yang lama,” ujarnya.

Untuk kaum Adam, baju yang disediakannya ialah baju sikap dan baju layang, manakala seluar yang dijual ialah seluar potong Cina. Bagi kaum Hawa pula, Warisan Angsari menyediakan baju kurung Riau yang perlu ditempah.

Menurut Putri Eliza, pelanggannya terdiri daripada orang awam yang semakin menunjukkan minat terhadap busana, selain mereka yang terlibat dalam seni silat atau tarian kebudayaan.

Mungkin ramai yang mahu berbusana, namun berkira-kira kerana tanggapan harga yang tinggi, lantas memadamkan hasrat untuk berbusana.

Warisan Angsari menggunakan kain kapas untuk menghasilkan busana siap pakai yang menjadikannya mampu milik.

Pakej baju, seluar dan bengkung dijual pada harga RM230. Set lengkap yang didatangkan bersama tanjak, capal, samping dan pending pula berharga sekitar RM450.

Penggiat busana Melayu tidak kekok martabatkan warisan bangsa dengan menggayakan busana klasik pada Hari Raya Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini