AOR Youth rai penerima zakat - Utusan Malaysia

AOR Youth rai penerima zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Penghujung Ramadan yang berbaki dua hari lagi tidak menghalang sekumpulan anak muda dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan, AOR Youth meraikan penerima zakat dengan mengagihkan makanan dan duit raya kepada golongan itu.

Pengerusi AOR Youth, Muhammad Faqrul Asyraf berkata, seramai 20 sukarelawan berusia lingkungan 14 hingga 25 tahun meluangkan masa dalam program Get Together Ramadan 2019 (GTR 2019) yang diadakan di sekitar Masjid Zahir, di sini.

Menurutnya, objektif program itu adalah untuk memupuk sifat kesedaran kepada belia supaya menyedari betapa penting peranan mereka berkhidmat dan membantu masyarakat terutamanya di sekitar negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, impak program amal yang melibatkan orang muda ini juga adalah untuk mengajak mereka memperbanyak program-program amal seperti ini agar dapat menambah pengalaman dan mempelajari perkara baru yang memberi banyak faedah kepada kehidupan mereka,” katanya di sini hari ini.

AOR Youth merupakan NGO yang ditubuhkan pada 18 Oktober 2016 dan merupakan organisasi yang menjalankan serta membantu aktiviti melibatkan belia di seluruh negeri ini.

Tambah Muhammad Faqrul, sebanyak 150 bungkusan makanan dan beg cenderahati turut diedarkan kepada penerima zakat berkenaan untuk dinikmati sebagai juadah berbuka puasa nanti.

“Apa yang menarik untuk program GTR 2019 kali ini, menu masakan untuk diagihkan kepada penerima-penerima zakat juga ada kelainannya apabila hasil perbincangan semua ahli jawatankuasa dan sukarelawan AOR Youth, kami bersetuju untuk memilih nasi putih dan ‘butter chicken’ sebagai menu utama.

“Kami memilih menu itu kerana ingin memberi peluang kepada mereka merasai juadah tersebut yang mungkin ada di antaranya tidak pernah mencuba sebelum ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini