KUALA LUMPUR – Polis menahan sebanyak sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
Menurut laporan Utusan Borneo, pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden George Abd. Rakman berkata, penahanan sembilan PATI berusia lingkungan 14 hingga 33 tahun itu dibuat selepas pihaknya memeriksa sebanyak 44 warga asing.
“Daripada sembilan orang itu, dua didapati positif dadah. Operasi dijalankan selama lapan jam dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang semalam.
“Operasi membabitkan enam lokasi sekitar daerah ini, antaranya Jeti Pasar Besar, setinggan Iramanis, Luyang, setinggan Damai Sari/CKS Manggatal, setinggan belakang 1Borneo, setinggan Seri Warisan Inanam dan sekitar bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar George, tumpuan operasi adalah kawasan yang mempunyai kadar pertumbuhan PATI yang mengundang kepada kegiatan jenayah di kawasan berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tangkapan kesalahan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah beliau, operasi berkenaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dan orang ramai dialu-alukan bagi menyalurkan sebarang maklumat di balai polis berhampiran atau melalui laman sosial Facebook Polis Kota Kinabalu. – UTUSAN ONLINE











