KUALA LUMPUR – Keupayaan skuad hoki wanita negara mengejutkan Itali dengan kemenangan 2-0 dalam aksi Tiga Penjuru di Rome telah menambah motivasi pasukan menjelang kempen Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland Utara, minggu depan.
Lebih membanggakan, ia juga adalah kemenangan kali pertama diraih Malaysian Tigress yang menghuni ranking ke-22 dunia ke atas pasukan ranking 17 dunia itu.
Ketua jurulatih skuad wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, bahagian serangan dan pertahanan yang berfungsi dengan baik dalam aksi yang berlangsung semalam itu menjadi salah satu faktor mereka mampu meraih kemenangan.
“Pada hari terakhir di Rome semua pemain telah mempamerkan aksi dengan sebaiknya untuk mendapatkan kemenangan ini. Dapat dilihat dalam perlawanan ini, pemain telah memberikan satu persembahan menarik ketika bertahan ataupun ketika menyerang balas,” kata Muhammad Dhaarma Raj.
Secara keseluruhan dalam aksi Tiga Penjuru (Malaysia-Sepanyol-Itali) menyaksikan Malaysian Tigress mencatat satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. Skuad hoki negara ketika ini sedang melakukan persediaan menghadapi Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara yang dijadual berlangsung pada 8 Jun.
Dalam kempen kejohanan tersebut, Malaysian Tigress diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Ireland, Republik Czech dan Singapura. – UTUSAN ONLINE











