BAGAN DATUK – Jajaran Seksyen 8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dari Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer yang dibuka secara rasmi bermula kelmarin, mula digunakan oleh orang ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan di kedua-dua arah berjalan lancar dengan lebih banyak kenderaan menghala ke arah utara.
Seorang pengguna, Mohd Rosni Abdullah Sani, 41, berkata, dia sering berulang-alik membawa ibu ke rumah adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan pada setiap bulan sejak 10 tahun lalu.
Dia berkata, dengan pembukaan jajaran WCE tersebut, perjalanan menjadi lebih lancar tanpa perlu berdepan banyak motosikal, treler dan lori sawit selain menempuh banyak lampu isyarat.
“Sebelum ini, kalau hendak balik ke Sitiawan, perlu melalui Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan keluar di Plaza Tol Sungkai atau ikut pekan Hutan Melintang yang mengambil masa enam hingga tujuh jam.
“Ini pertama kali saya menggunakan WCE, jadi masih belum dapat hendak bandingkan sepenuhnya masa perjalanan yang diambil,” katanya ketika ditemui dekat Plaza Tol Teluk Intan di sini hari ini.
Sementara itu, adiknya, Rozilawati Abdullah Sani, 40, mengakui kemudahan WCE adalah jauh lebih baik berbanding jalan lama yang tidak rata.
“Malahan, kalau ikut jalan lama, tayar kami selalu pancit sebab kena paku, sudah tiga empat kali terkena,” katanya. – UTUSAN ONLINE











