KOTA BHARU – Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit dekat Pasir Tumboh, mengagihkan 800 bungkus bubur lambuk secara percuma kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tiong ke Pasir Tumboh, di sini semalam.
Setiausahanya, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya berkata, program agihan yang sudah memasuki tahun ketiga itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk sekali gus bagi menghayati bulan Ramadan.
Katanya, lebih manis apabila penduduk mengumpul dana peribadi, memasak serta mengagihkan bubur itu bersama -sama.
“Seramai tiga orang tukang masak mula memasak bubur seawal pukul 7 pagi sehingga 12 tengah hari. Proses agihan pula berjalan selama satu jam bermula pukul 5.30 petang yang membabitkan seramai 15 ahli Pertubuhan,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya mengadakan program tahunan ini di penghujung bulan Ramadan kerana menghargai perantau yang sudah ramai pulang untuk berhari raya.
“Pada tahun pertama, kita hanya menyediakan 200 bungkus bubur lambuk dan kemudian pada tahun seterusnya, sebanyak 500 bungkus. Kita sentiasa menambah bilangan bekas kerana mendapat sambutan yang baik dari orang ramai,” katanya.
Sementara itu, seorang penguna jalan raya, Wan Rafizi,36, berkata, dia kagum dengan sikap muafakat yang dilakukan penduduk di sekitar ini.
“Rezeki saya hari ini dapat makan bubur lambuk percuma. Saya yakin aktiviti mulia ini akan memberi keceriaan terutama kepada semua pengguna jalan raya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











