Adakah prosiding inkues Muhammad Adib tidak sah? - Utusan Malaysia

Adakah prosiding inkues Muhammad Adib tidak sah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob mempersoalkan sama ada prosiding inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang telah berlangsung sejak lebih tiga bulan lalu tidak sah dari sudut perundangan negara.

SURAYA YAACOB
SURAYA YAACOB 

Suraya berkata, hal itu berikutan alasan yang diberi Peguam Negara, Tommy Thomas kononnya wujud elemen ‘konflik kepentingan’ dalam pelantikan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba itu.

Beliau turut hairan mengapa Tommy hanya ‘celik’ tentang Syazlin selepas tiga bulan prosiding itu berlangsung berbanding ketika inkues yang mahu merungkai punca kematian Muhammad Adib itu dimulakan sejak 11 Februari lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Prosiding inkues ini merupakan usaha sistem keadilan negara mencari punca kematian Muhammad Adib, setelah lebih tiga bulan rakyat menaruh harapan untuk mencari kebenaran Tommy tiba-tiba campur tangan dan mencemarkan prosiding inkues yang kini berada di fasa terakhir.

“Sekiranya penglibatan Syazlin adalah salah, mengapa Tommy membutakan mata sejak hari pertama prosiding kes. Jadi, adakah ia semata-mata hanya kerana Syazlin atau testimoni yang menegaskan Allahyarham Muhammad Adib maut kerana dipukul,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 27 Mei lalu, Syazlin memaklumkan penarikan dirinya di hadapan Koroner Rofiah Mohamad dalam prosiding inkues kematian Muhamaad Adib yang memasuki hari ke-37 di Mahkamah Koroner di Shah Alam, Selangor.

Mengulas lanjut, Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri menegaskan, tindakan Tommy tersebut amat memalukan sistem perundangan negara sekali gus memburukkan imej Jabatan Peguam Negara dan kerajaan.

“Tommy perlu berhenti menjadikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guaman miliknya kerana badan perundangan itu merupakan sebuah badan bebas milik kerajaan yang berperanan mendokong sistem keadilan negara dan bukan untuk bertindak memuaskan hati atau kehendak pihak tertentu.

“Justeru, saya berpandangan Tommy tidak sesuai memegang jawatan Peguam Negara dan perlu segera meletak jawatan secara terhormat.

“Perdana Menteri selaku pemimpin tertinggi negara juga seharusnya mempertimbang untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara demi menjamin ketelusan badan perundangan negara,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini