Ibu tunggal tumpangkan wanita warga emas tinggal bersamanya - Utusan Malaysia

Ibu tunggal tumpangkan wanita warga emas tinggal bersamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Pendapatannya menjual pakaian secara dalam talian tidaklah seberapa, apatah lagi terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menanggung lima anaknya setelah bergelar ibu tunggal, namun kepayahan itu tidak menghalangnya membantu orang lain pula.

Kemuliaan itu ditunjukkan Siti Nur Nabila Tajudin, 29, yang membuat keputusan untuk mengambil seorang wanita warga emas, Halimah Mohd. Kassim, 60, tinggal bersama dengannya walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa pertalian darah.

Ujar Siti Nur Nabila, nasib malang Halimah bermula setelah suami wanita itu, Mohd. Hashim Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput di Taman Seri Gedong, di sini pada 21 April tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Halimah yang tidak memiliki anak tinggal bersamanya setelah wanita itu tiada tempat berteduh selain tidak ada ahli keluarga lain mahu menjaganya.

“Saya bersimpati apabila mengetahui nasibnya, tambahan pula dia menghidap penyakit kencing manis selain kaki kirinya dipasang besi akibat terjatuh dalam bilik air sebelum ini.

“Selepas melihat kesengsaraannya, saya nekad mengajak tinggal bersama saya dan anak-anak walaupun kehidupan kami sendiri sebenarnya tidak seberapa serta turut bergantung bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Pasir, di sini hari ini.

Siti Nur Nabila berkata, dia pula baru berpisah dengan suaminya pada Disember lalu dan menjaga kelima-lima anaknya iaitu Mohd. Danie Wafiy, 10, Nur Adriana, 7, Aqil Danish, 6, Auni Batrisyia, 5, dan Khayla Haffiya yang berusia setahun lima bulan.

“Dua daripada mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakar Arang dan SK Seri Gedong, manakala anak ketiga dan keempat di Tadika Kemas Permatang Gedong.

“Sebahagian daripada wang yang diterima daripada JKM saya belanjakan untuk membeli makanan dan keperluan keluarga serta terpaksa mencari sumber lain untuk menampung perbelanjaan harian kami,” katanya lagi.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada Halimah boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya bernombor 0212441000076467. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini