PULAU PINANG – Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang (LMPP) tidak terlibat dalam perjumpaan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang diadakan di sini minggu lalu.
Presidennya, Datuk Najmudeen Kader berkata, gabungan itu bersama Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) mempunyai platform tersendiri dalam menyuarakan dan membawa isu-isu berkaitan umat Islam dan orang Melayu, bumiputera serta India Muslim di negeri ini termasuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain itu, menurutnya, gabungan tersebut sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Kerajaan Pusat lain yang berkaitan seperti Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Tambah beliau, gabungan itu juga mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan barisan Exconya yang sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada usaha membangunkan masyarakat Islam yang digerakkan oleh LMPP.
“Di peringkat Pusat juga, kita bekerjasama rapat dengan Permim yang bergerak aktif dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan komuniti ini melangkaui ideologi politik termasuk menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi Melayu berkaitan isu ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pertemuan dengan komuniti India Muslim di sini baru-baru ini, Waytha Moorthy dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan masyarakat itu bimbang hak mereka dipinggirkan dan suara mereka tidak diwakili di peringkat kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, tambah Waytha Moorthy, beliau bersedia mendengar masalah komuniti tersebut dan cuba membantu kerana ditugaskan untuk menjaga kebajikan kaum India termasuk India Muslim.
Dalam pada itu, Najmudeen berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi daripada pertemuan dan kenyataan Waytha Moorthy berkenaan kononnya gabungan LMPP meletakkan soal kebajikan dan masa depan khususnya masyarakat India Muslim di bawah seorang pemimpin India.
Sedangkan, kata beliau, pihaknya langsung tidak mengetahui atau dijemput menghadiri pertemuan dengan pemimpin berkenaan pada majlis tersebut.
“Pertubuhan yang hadir ketika itu juga tidak mewakili suara keseluruhan masyarakat India Muslim di negeri ini seperti PLMPP yang mana kita merupakan gabungan 25 pertubuhan India Muslim daripada pelbagai latar belakang masyarakat di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











