BESUT – Seorang lelaki terkedu apabila mendapat tahu adiknya terlibat dengan penagihan dadah berdasarkan ujian air kencing yang di dapati positif selepas ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Kampung Pacakan Kuala Besut, dekat sini malam tadi.
Lebih mengejutkan, adik kandungnya yang berusia 23 tahun itu mengaku telah terlibat dengan penagihan pil kuda sejak tiga tahun lalu kerana terpengaruh dengan rakan-rakan tanpa pengetahuan keluarga mereka.
Dalam Ops Bersepadu Khas Motosikal sempena musim perayaan Aidilfitri bermula pukul 8.30 malam yang melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan tiga agensi penguatkuasa lain iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis trafik dan Jabatan Imigresen Malaysia turut membuat ujian saringan ke atas enam orang pengguna jalan raya.
Operasi tersebut bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang berada di bawah pengaruh dadah.
Penolong Pegawai AADK Besut, Khairil Izhar Mat Taha berkata, hasil pemeriksaan bersama enam orang anggota AADK Besut mendapati salah seorang daripada pengguna jalan raya positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998. – UTUSAN ONLINE











