KUALA LUMPUR – Pentas Olimpik menjadi platform paling sesuai buat pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia bagi menentukan hala tuju dalam karier badmintonnya.
Pemain berusia 21 tahun itu harus bijak memanfaatkan peluang terhidang di depan mata berikutan ketiadaan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei serta pemain perseorangan lelaki lain seperti Chong Wei Feng dan Liew Daren dalam temasya berprestij itu.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, berkata berada di gelanggang pertandingan dalam temasya Sukan Olimpik dan pencapaian pemain kelahiran negeri Jelapang Padi itu akan membantunya mengukir nama dalam arena badminton negara dan antarabangsa.
“Dia (Zii Jia) harus ambil kesempatan ini. Kesempatan untuk membina legasi dia sendiri. Dia harus banyak bertanya, banyak berfikir, banyak menganalisa permainan lawan dan harus tempatkan diri dia di mana, adakah dia harus sama dengan orang lain. Itu yang akan menentukan arah tuju dia.
“Kalau pada pandangan saya, untuk Zii Jia ini, pentas Olimpik adalah satu petanda untuk menentukan arah tuju dia,” katanya. – BERNAMA











