SEOUL 2 Jun – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menurunkan unjuran keuntungan kepada AS$28 (RM117.33) bilion tahun ini berbanding unjuran AS$35.5 (RM148.76) bilion yang dibuat pada Disember 2018.
Ia juga menyaksikan keuntungan selepas cukai bersih 2018 menyusut dengan IATA menganggarkan sebanyak AS$30 (RM125.72) bilion.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Elsekutif IATA, Alexandre de Juniac, 2019 menyaksikan tahun ke-10 berturut-turut industri penerbangan berada dalam keadaan yang baik tetapi margin ditekan oleh peningkatan kos yang tinggi terutama tenaga buruh, bahan api dan infrastruktur.
“Malah, persaingan sengit juga menyukarkan syarikat penerbangan menikmati hasil yang lebih tinggi. Dalam masa sama, kelemahan perdagangan global juga berterusan memandangkan perang dagangan antara AS-China semakin meruncing.
“Ini memberi kesan terutamanya kepada perniagaan kargo tetapi penumpang trafik juga akan terkesan jika ketegangan memuncak. Syarikat penerbangan masih boleh kembali untung tahun ini, tapi bukan mudah untuk mendapat duit,” katanya dalam perasmian Mesyuarat Agung Tahunan IATA ke-75 di sini hari ini.
Persekitaran perniagaan bagi syarikat penerbangan menerima tekanan daripada peningkatan harga bahan api dan ketegangan perdagangan global.
Pada tahun ini, keseluruhan kos dijangka meningkat 7.4 peratus mengatasi peningkatan 6.5 peratus bagi perolehan. – UTUSAN ONLINE











